Subscribe:

Pages

February 5, 2010

Rahsia Solat I

Assalamualaikum,

Sepanjang pembacaan saya dalam sebuah buku berjudul Khusyuk Dalam Solat, terdapat beberapa rahsia dalam solat. Disini saya sertakan rahsia solat sebagaimana disebut Al Quran atau As Sunnah An Nabawiyyah, atau dalam asar-asar ulama soleh,

Pertama

Solat merupakan dakwah lisan dari Allah SWT kepada manusia. Dimana akan kedengaran azan berkumandang setiap lima kali sehari. Jesteru itu, kita sebagai hamba Allah hendaklah memenuhi panggilan Allah untuk segera menghadapNYA. Panggilan Allah menjanjikan seribu satu kebaikan kepada kita berbanding pekerjaan yang dilakukan oleh kita pada ketika itu

Kedua

Solat merupakan taubat kepada Allah dan pengasah hati. Ini adalah kerana solat dapat mengasah keislaman seorang muslim dan mengangkat darjat seorang muslim ke darjat ihsan.

Rasulullah SAW bersabda,

"Seorang muslim akan diampuni dosanya dari waktu solat (Wajib) ke waktu solat (wajib) berikutnya, dari hari jumaat ke hari jumaat berikutnya, dan dari bulan Ramadhan ke bulan Ramadhan berikutnya selama dia tidak melakukan dosa-dosa besar"
-HR Muslim dalam Al Taharah, at-Tarmizi dalam al-Mawaaqitu,Ibn Majah dalam Al-Taharah-

Rasulullah SAW juga bersabda,

"Perumpamaan solat lima waktu adalah seperti sungai tawar yang mengalir deras di depan pintu salah seorang di antara kalian, Dari air sungai itu, dia mandi lima kali dalam sehari. Menurut kalian, apakah kotoran orang tersebut masih ada yang tertinggal?" Sahabat berkata, "tidak". Baginda bersabda, "Demikian juga dengan solat lima waktu; dengan solat, Allah menghapus semua kesalahan (hamba-NYA yang mendirikan solat)"
-HR Muslim, Malik dan Ahmad-

Ketiga

Solat sebagai bekalan hidup, terutama dalam menjalankan dakwah

Allah SWT berfirman,

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk "(Al- Baqarah : 45)

Allah juga berfirman, melalui ungkapan Luqman kepada anaknya,

"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya." ( Luqman : 17)

Keempat

Solat merupakan tarbiah. Solat mengajak seseorang muslim untuk melakukan perbuatan yang baik. Selain itu, solat dapat mendorong seseorang untuk kebaikan dan takwa. Ini adalah kerana solat itu boleh menimbulkan perasaan malu. Rasa malu itu boleh melindungi seorang muslim dari perbuatan maksiat.

Kelima

Solat merupakan kekuatan spiritual. Ketika seseorang muslim ditimpa musibah, dengan bersolat dapat meneguhkan keyakinannya kepada Allah. Nabi Muhammad SAW, ketika dilanda kesedihan,Baginda segera bergegas mendirikan solat*. (*HR Nasai dan Ahamad).

Allah SWT berfirman,

" Dan jika Allah mengenakan (menimpakan) engkau dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan Dia sendiri; dan jika Ia mengenakan (melimpahkan) engkau dengan kebaikan, maka Ia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu"
(Al-An'aam : 17)

Buat renungan untuk diri sendiri dan sahabat-sahabat,


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman:” Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya?” Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain. ”

Riwayat at-Tirmidzi

” Berusahalah untuk duniamu seolah-olah engkau hidup selama-lamanya, dan beramallah untuk akhiratmu seolah-olah engkau akan mati esok hari.”

0 comments:

Post a Comment