Subscribe:

Pages

October 12, 2010

Hilangnya Hidayah


Hidayah itu Milik Allah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh buat semua. Ingin sekali saya kongsi sedikit sebanyak ilmu yang saya dapat kongsi melalui pembacaan saya “ Menuai Hidayah Iman” karya Muhammad Hassan Al Basri.


“ Segala puji nikmat dan anugerah,
Hanya milikMu  Ya Tuhan,
Tiada apa pun yang melebihiMu,
Raja di atas Arasy, penguasa langit luas,
Wajah-wajah tunduk, sujud tiada kuasa,
Manusia pasrah menerima hisabnya
Ada yang celaka dan terseksa,
Ada yang bahagia di dalam syurga”
.:Umaiyah bin Abi as-Shalt:.


            Demikianlah syair Umaiyah yang menyanjung akan Tuhan. Kesudahannya dia enggan bersyahadat hingga ke akhir hayatnya kerana berasa teramat sedih ekoran kematian kaum keluarganya yang berperang di pihak kafir. Dia mengambil keputusan untuk membatalkan niatnya memeluk Islam. Sedangkan Rasulullah SAW tidak mampu memberi hidayah kepada manusia, bagaimana kita dengan kita? Hidayah itu adalah hak mutlak Allah SWT. Allah berfirman dalam surah al-Qasas ayat 56.


إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ ۚ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
O Prophet, you cannot give guidance to whom you wish, it is Allah Who gives guidance to whom He pleases, and He is quite aware of those who are guided.




Realiti kehidupan kita


            Sesetengah antara kita ada yang berkata “Aku tahu menutup aurat tu adalah wajib, nantilah dulu, nanti dapat hidayah aku tutuplah aurat” atau mungkin “Aku sudah berkemampuan, nantilah tunggu tua sikit baru aku menunaikan haji, kalau pergi masa muda pun lepas ni aku buat dosa lagi” . Melalui kata-kata ini penulis ada menyebut bahawa orang itu memperolehi hidayah tetapi tidak memperolehi taufik. Yakni kita dapat lihat kepentingan hidayah iman ataupun hidayah taufik. Melalui hidayah itu manusia bukan sahaja dapat mengetahui, tetapi juga mahu mengamalkan ibadat.


Tanda- tanda terhalang daripada mendapatkan hidayah:

·         Terasa berat mahu beribadat dan taat kepada Allah walaupun dia tetap berusaha
·         Mudah terjerumus ke dalam maksiat walaupun dia berusaha untuk mengelak darinya
·         Tertutup pintu hatinya apabila memohon daripada Allah, sehingga dia berasa tidak perlu selalu berdoa.


Maksiat dan Seterusnya


            Imam Al-Ghazali dalam kitabnya iaitu Bidayah al –Hidayah ( Bimbingan Menggapai Hidayah) telah menjelaskan terdapat di bahagian utama dalam agama. Pertama adalah meninggalkan larangan iaitu menjauhi maksiat. Kedua mengerjakan ibadat dengan taat dan sepenuh hati kepada Allah. ( Boleh rujuk entri Kesan Maksiat). 


            Realitinya memang banyak perkara yang dapat menghalang datangnya hidayah Allah kepada manusia. Dalam hal ini ulama mengenalpasti antara perkara-perkara yang menghalangi kita daripada mendapatkan hidayah :


·         Terus berada dalam kejahilan ; suka melakukan kejahatan, suka memuaskan nafsu
·         Tidak berusaha untuk menuntut ilmu sedangkan ilmu itu adalah cahaya yang menerangi kita dalam kegelapan.
·         Ilmu yang dipelajari tidak diamalkan
·         Sombong dan tidak mahu menerima kelemahan diri
·         Suka melakukan maksiat
·         Makan makananan yang haram 


” Sedikit demi sedikit, lama-lama jadi bukit”. Apabila dosa yang dilakukan dibiarkan begitu sahaja tanpa ada usaha untuk mensucikannya, semakin lama semakin bertambah semakin susah untuk memperbaikinya. Ibarat membersihkan besi berkarat atau mungkin membaiki rumah yang telah lama dibiarkan dan mungkin tidak sempat untuk membaikinya kerana runtuh. 


Perpisahan yang terasing 

            Jika dibiarkan akan dosa-dosa yang dilakukan ia akan menyebabkan terhalangnya hubungan antara hamba dan tuhannya. Ini akan menyebabkan:


Kehidupan yang susah :
Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”.
[Taha : 124]

Hati yang keras dan gelap :
“..dan Kami jadikan hati mereka keras membatu (tidak mahu menerima kebenaran)...”
[Al-Maidah : 13]

Muka yang hitam pada hari kiamat :
”dan ada muka (orang-orang) menjadi hitam legam. Adapun orang-orang yang telah hitam legam mukanya, (mereka akan ditanya secara menempelak): “Patutkah kamu kufur ingkar sesudah kamu beriman? Oleh itu rasalah azab seksa neraka disebabkan kekufuran kamu itu”.
[ Ali- Imran : 106]


            Itulah antara kesan-kesan buruk daripada melakukan dosa-dosa yang mana kan menghalang kita daripada mendapatkan hidayah dariNYa. Al- Qurtaubi berkata hati manusia boleh menjadi gersang dan kering seperti batu kerana mengingkari ayat-ayat Allah. Na’udzubillah..