Subscribe:

Pages

June 16, 2010

Duhai Hawa


~Assalamulaikum buat sahabat tercinta.Apa khabar iman kita hari ini? Alhamdulillah syukur ke hadrat illahi diberi lagi peluang lagi untuk mencurahkan idea didalam blog ini. Sepanjang pembelajaran saya dalam cytopathology tentang keabnormalan yang berlaku pada endometrium lalu terdetik dalam hati saya setiap apa yang dianjurkan oleh Islam adalah bertepatan dalam kehidupan kita~


Struktur Pembiakan Wanita

Sebelum berbicara lanjut tentang ini, adalah lebih baik saya sertakan sistem pembiakan wanita.

Gambarajah 1

Keabnormalan trak pembiakan wanita ( Lesi Benign Endometrium)

Apakah yang dimaksudkan dengan Lesi Benign1 Endometrium? Ia adalah merupakan perubahan yang bercirikan benign1 pada sel endometrium. Antara lesi benign endometrium adalah Endometritis, Adenomyosis, Endometriosis dan lain-lain.




Endometritis
Endometritis merupakan inflamasi2 yang berlaku pada endometrium. Antara faktor yang membawa kepada endometritis adalah Pelvic Inflammatory Disease (PID) dan pemakaian IUD (intra-uterine device). PID biasanya disebabkan oleh Sexual Transmitted Disease (STD) iaitu Penyakit Jangkitan Seksual.  Penggunaan IUD adalah bertujuan untuk merancang kehamilan.

Adenomyosis
            Ia merupakan keadaan yang dicirikan dengan kehadiran tisu endometrial yang tumbuh secara berlebihan di dalam myometrium (rujuk gambarajah 1). Antara salah satu sebab yang menyebabkan penyakit ini adalah pengguguran kandungan.

Endometriosis
Ia di definisikan sebagai pertumbuhan kelenjar diluar uterus. Keadaan ini biasa berlaku kepada wanita wanita 30 hingga 40 tahun yang belum pernah mengandung.


Apakah Perkaitannya?

Sebelum itu, sama-sama kita hayati Firman Allah SAW dalam Surah Al-Mu’minuun tentang penciptaan manusia.

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah;

Kemudian Kami jadikan "pati" itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh;

Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.

Al-Mu’minuun : 12-14

Saban hari kita mendengar kes buang bayi, makin hari makin menjadi. Sudah menjadi kebiasaan para remaja mengambil langkah ini. Jumlah itu belum ditambah lagi dengan  pengguguran kandungan. Adikku, tidakkah kamu mengetahui risiko yang bakal dihadapi akibat pengguguran bayi. Seperti yang dinyatakan diatas salah satu risiko yang bakal dihadapi adalah Adenomyosis.

Kebanyakan hospital menyarankan perancangan keluarga kepada ibu-ibu. Antaranya adalah makan pil, suntikan hormon, atau penggunaan alat dalam rahim (IUD). Ada juga ibu-ibu mengambil langkah mudah untuk penggunaan IUD. Bahagian vaginal pada alat tersebut akan menyediakan tempat pembiakan bakteria. Keadaan ini boleh membawa kepada Endometritis. Tidak cukupkah Islam telah memberi kaedah semulajadi bagi perancangan kehamilan terbaik iaitu dengan menyusu lengkap selama 2 tahun?

Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan. Al- Baqarah : 233


Berbicara pula tentang gaya hidup kini kononnya kahwin sudah menjadi nombor dua. Buat kepada diluar sana yang menganggap sedemikian, ada juga risiko yang muncul sekiranya dalam 30 hingga 40 tahun masih lagi belum mengandung iaitu endometriosis.

Dari Anas r.a katanya:”Beberapa orang sahabat Nabi SAW bertanya kepada para isteri baginda tentang amal ibadah baginda ketika sedang bersunyi diri (sendirian). Setelah mendapat jawapan, maka di antara para sahabat itu ada yang berkata:”Aku tidak akan berkahwin!” Sebahagian lagi berkata,:”Aku tidak akan makan daging” Yang lain pula berkata :”Aku tidak akan tidur di atas kasur (tempat perbaringan).” Mendengar ucapan para sahabat itu, Nabi SAW serta merta memuji Allah SWT, lalu baginda bersabda:”Bagaimanalah cara mereka berfikir sehingga mereka bercakap begini dan begitu. Padahal aku sendiri solat, tidur, puasa, berbuka bahkan aku bernikah. Sesiapa yang benci kepada cara hidup (sunnahku) maka dia tidak termasuk golonganku.

(Bukhari)

Khulasah

Adapun masih lagi berlaku risiko penyakit ini, ia adalah dari Allah SWT. Bukanlah bermaksud untuk menakutkan, sekadar menyatakan Islam itu menepati penghidupan kita. Setiap apa yang berlaku mempunyai hikmah disebaliknya. Sekadar membuka mata kita, kadang-kadang leka tentang apa yang berlaku disekeliling kita. Penulisan saya ini masih lagi dalam peringkat mencuba dan masih lagi perlu diperkemaskan serta idea itu masih lagi perlu dikembangkan. Andai ada salah dan silap dalam penulisan saya, silalah komen yang membina. Semoga dirahmati Allah...

1.      Pertumbuhan tisu abnormal, iaitu proliferasi tisu yang tidak sama dengan pertumbuhan tisu yang normal yang dikenali sebagai tumor( peringkat awal)
2.      Mekanisme perlindungan yang bertujuan menyingkirkan bahan yang menyebabkan kecederaan sel

0 comments:

Post a Comment