~Setelah membaca buku tentang Muhammad SAW karangan Tuan Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat. Saya cukup tersentuh dengan peristiwa pengampunan Kaab bin Malik, Marrarah bin ar-rabie’ dan Hilal bin Umaiyah. Mereka telah dipulaukan selama 50 hari sehingga turunnya wahyu menyatakan bahawa taubat tiga orang yang tidak menyertai Perang Tabuk diterima oleh Allah SWT.~
Firman Allah SWT dalam surah At-taubah : 118 ,
Dan (Allah menerima pula taubat) tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat mereka) hingga apabila bumi yang luas ini (terasa) sempit kepada mereka (kerana mereka dipulaukan), dan hati mereka pula menjadi sempit (kerana menanggung dukacita), serta mereka yakin bahawa tidak ada tempat untuk mereka lari dari (kemurkaan) Allah melainkan (kembali bertaubat) kepadaNya; kemudian Allah (memberi taufiq serta) menerima taubat mereka supaya mereka kekal bertaubat. Sesungguhnya Allah Dia lah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani.
Rasulullah SAW telah menghebahkan kepada orang ramai bahawa taubat Kaab bin Malik, Marrarah bin ar-Rabie’ dan Hilal bin Umaiyah telah diterima oleh Allah SWT.Dosa mereka kerana tidak mematuhi arahan Rasulullah SAW untuk ke medan tabuk telah dihapuskan sepenuhnya. Berakhirlah saat gelisah bagi tiga sahabat baginda itu.
Sepanjang tempoh pemulauan itu, Marrarah bin ar-Rabie’ dan Hilal bin Umaiyah berkurung didalam rumah, dalam keadaan menangis, mencucurkan air mata setiap hari kerana terlalu sedih dengan pemulauan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW.
Manakala Kaab bim Malik mengambil keputusan untuk berjumpa dengan Rasulullah SAW dan mengucapkan salam kepadanya. Kemudian Kaab bin Malik memerhati samada mulut Rasulullah SAW bergerak untuk menjawab salamnya ataupun tidak. Ketika solat Kaab bin Malik mendirikan solat hampir dengan Rasulullah SAW. Sebaik selesai solat, Kaab bin Malik mendapati baginda berpaling muka meninggalkannya.
Setelah 40 hari berlalu, datang seoarang sahabat membawa arahan Rasulullah SAW : melarang kaab bin Malik tinggal bersama-sama isterinya. Jika sebelum ini keduanya tealah menghabiskan waktu dengan menangis mencurahkan air mata. Dengan arahan ini, bertambahlah derita jiwa kedua sahabat itu, hingga seolah-olah kering air mata.
Pada subuh hari yang ke 50, ketika Kaab bin Malik sedang mendirikan solat kedengaran suara bersahut-sahutan dari bukit Sana’ , “Wahai Kaab, terimalah khabar gembira”. Berita itu adalah turunnya wahyu menyatakan bahawa taubat tiga orang yang tidak menyertai perang tabuk telah diterima oleh Allah.
Kesimpulan
Sahabat-sahabat Rasulullah SAW sanggup bermandikan air mata, sanggup menerima pemulauan dari masyarakat masa itu selama 50 hari,sanggup untuk berpisah dari isteri kerana ingin memohon taubat dari Allah. Diri ini bagaimana? Tiada kesukaran untuk memohon taubat dari Allah tetapi masih lagi duduk dalam keadaan senang.
Ayuh bangkit dari kealpaan. Betapa sayangnya Allah SWT kepada kita. Pintu taubat terbentang luas, Allah SWT itu Maha Pengampun. Sama-sama kita perbaiki diri kita.
Dari Abu Musa r.a, dari nabi s.a.w katanya:”Allah Azza wa Jalla membentangkan tangan-Nya pada malam hari untuk menerima taubat orang yang bersalah siang hari, dan membentangkan tangan-Nya siang hari untuk menerima taubat orang yang bersalah malam hari sehingga matahari terbit di Barat.”
(Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a katanya, rasulullah s.a.w bersabda:”Allah Taala sangat gembira menerima taubat seseorang kamu melebihi kegembiraan seseorang yang menemui kembali barangnya yang hilang.”
(Muslim)
Rasanya tidak sanggup sekiranya Rasulullah SAW memaling muka dari kita. (Ya Allah, sedihnya). Andai kita ditempat Kaab bin Malik pada masa itu? Bagaimanakah reaksi kita?
Dosa adalah masalah besar kepada orang beriman, ia adalah halangan bagi mereka menikmati kebahagian di akhirat. Apabila dosa tiga orang sahabat itu diampunkan , jesteru oran ramai turut gembira. Demikianlah persaudaraan dalam Islam, bersama merasai apa yang ditanggung oleh sahabatnya. Berdukacita ketika saudaranya ditimpa musibah dosa. Turut gembira apabila saudaranya mendapat nikmat keampunan dari Allah SWT. Bagaimana dengan persaudaraan kita?
~Muhasabah diri ini~
0 comments:
Post a Comment